“Setakat ini, untuk tawaran haji kumpulan pertama 2022, 1,000 tawaran yang ditolak itu sudah diisi dengan bakal jemaah haji dalam senarai menunggu,” itu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Menurutnya permohonan bakal jemaah ditolak adalah disebabkan ditolak pelbagai faktor terutama kesihatan, oleh itu ianya sudah diisi bakal jemaah dalam senarai menunggu.

“Kekosongan itu turut diisi bakal jemaah yang membuat rayuan, namun keutamaan diberikan bakal jemaah dalam senarai menunggu.

“Untuk tawaran haji kumpulan kedua, surat tawaran sudah dihantar pada 10 Mei lalu dan Tabung Haji (TH) kini sedang mengemaskini jumlah bakal jemaah haji kumpulan berkenaan termasuk yang menolak,” katanya.

Semalam, media melaporkan, 60,000 individu merayu untuk melaksanakan ibadat haji musim 2022.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pengurusan jemaah haji diuruskan TH malah ia turut mendapat pujian daripada kerajaan Arab Saudi baru-baru ini.

“Persediaan terutama daripada segi logistik sudah siap dan kita hanya menanti kumpulan pertama bakal jemaah berlepas 4 Jun ini.

“Kita berharap, bakal haji negara ini sentiasa menjaga kesihatan bagi memastikan kelancaran ibadat di Tanah Suci berikutan Arab Saudi amat menitikberatkan faktor kesihatan kali ini berikutan pandemik Covid-19.

Tamat