Kes kejadian seorang lelaki bernama S.Murali, 36,  yang maut ditembak tepat ke muka hadapan sebuah restoran di Jalan Kampung Baru, dekat Sungai Petani, Kedah, dipercayai berhubung kait dengan kegiatan gangsterism.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa menuju ke kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya yang di parkir di hadapan sebuah restoran berhampiran lampu isyarat di jalan tersebut.

“Sebelum itu mangsa makan tengah hari di restoran berkenaan bersama isteri, seorang anak lelaki berusia lima tahun dan seorang rakannya.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba keluar dari restoran itu meninggalkan keluarga dan rakannya yang sedang makan tengah hari menuju ke kenderaannya di hadapan restoran itu,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini, hari ini .

Menurut Wan Hassan, siasatan awal mendapati mangsa dihampiri oleh empat suspek yang menunggang dan membonceng dua buah motosikal sebaik membuka pintu kenderaannya.

“Salah seorang suspek itu kemudian melepaskan lapan das tembakan dari jarak dekat dan mengenai badan dan muka mangsa menyebabkan dia mati serta merta.

“Kesemua suspek yang memakai topi keledar penutup muka penuh kemudian melarikan diri ke arah Jalan Sungai Petani-Butterworth di sini,” katanya.

Menurut Wan Hassan, semakan mendapati mangsa yang tinggal di Bedong dekat sini mempunyai satu rekod berkaitan pengibatannya dalam gengster dan jenayah terancang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tamat