Malaysia perlu melihat ke hadapan melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengurangkan kebergantungan import makanan haiwan terutamanya soya, jagung, serta gandum yang dilihat kini mulai berkurangan Perang Russia – Ukraine serta keadaan cuaca panas melampau di India.

Malaysia kini lebih bersedia dengan adanya usaha daripada FGV Holdings Bhd (FGV) melalui anak syarikat, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF), yang mampu menghasilkan produk makanan ternakan sendiri hanya menggunakan isirung sawit.

Ketua Perladangan Bersepadu Abdul Razak Aya berkata makanan haiwan jenama Alma yang menggunakan isirung sawit itu juga 20-30 peratus lebih murah berbanding produk lain.

Menurutnya statistik data terbaru menunjukkan syarikat tempatan berkenaan mampu menghasilkan sebanyak 75,000 tan makanan haiwan pada tahun ini berbanding 40,000 tan pada tahun lepas bagi menampung peningkatan permintaan ke atas daging lembu, kambing, arnab serta ayam.

“Kita dapati ada penternak telah mula menukar bahan makanan untuk binatang ternakan mereka kepada produk Alma. Oleh itu, kita menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 125,000 tan makanan ternakan menjelang 2024,” katanya.

Beliau berkata FGVIF akan meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi makanan ayam dan kini di peringkat memuktamadkan formula serta teknologi berkaitan.

“Kandungan serat dalam dedak PKC adalah tinggi dan tidak sesuai untuk ayam. Namun, ada teknologi tertentu yang sedang kita usahakan bagi membolehkannya sesuai sebagai makanan ayam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Nazrul Izam Mansor berkata FGV berhasrat untuk berkembang melangkaui segmen perladangan bagi mewujudkan rantaian nilai sepenuhnya.

“FGV mempunyai penternak dan ladang Felda serta mahu membantu meningkatkan lagi produktiviti di ladang-ladang ini bagi mengurangkan kos penternakan,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mampu berdikari dari segi makanan haiwan, beliau berkata ini tidak mustahil memandangkan skala terbabit masih kecil.

Kerajaan sebelum ini berkata PKC dan usaha penanaman jagung akan menjadi alternatif kepada makanan ayam yang dilaporkan naik harga secara mendadak baru-baru ini.

Tamat