Sepandai – pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, itulah yang boleh dikatakan kepada sindiket yang memproses dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine di ibu kota, dengan menyewa dua kondomonium mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Modus operandi berkenaan bagaimanapun gagal apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu kondominium mewah itu dan merampas sejumlah pil serta serbuk dadah jenis (MDMA) bernilai RM26.5 juta di sekitar ibu negara, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam empat serbuan berasingan bermula jam 4.30 petang hingga jam 11.10 malam itu, seorang lelaki warga tempatan yang juga dalang sindiket bersama tiga wanita warga China berusia 48 hingga 56 tahun ditahan

Menurutnya, sindiket yang aktif sejak penghujung tahun lalu itu menyewa dua kondominium mewah berkenaan semata mata bagi memproses dadah sebelum dijual ke pasaran tempatan.

“Kondominium itu disewa dengan harga RM2,500 dan pihak polis sendiri sukar untuk memasuki kawasan berkenaan kerana kawalan keselamatan yang ketat.

“Kita melakukan empat serbuan dalam operasi itu namun dua unit dikesan menjadi markas pemprosesan dadah yang termasuk sebuah unit untuk penyimpanan dadah jenis ekstasi itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, dalang utama adalah lelaki tempatan itu dan dia bertanggungjawab mengajar wanita dari China untuk memproses dan membungkus dadah itu.

“Seorang daripada wanita itu adalah teman wanita suspek dan dia diajar menguruskan dadah yang diproses.

“Setiap bahan untuk menghasilkan dadah dibeli dari pasaran tempatan dan kemungkinan dia sendiri belajar memproses dadah dari Internet,” katanya.

Menurut beliau, sindiket ini dipercayai aktif sejak penghujung tahun lalu dan mengedar di pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN menyita pelbagai aset bernilai RM122,000.

“Aset yang dirampas itu termasuk dua kenderaan, wang tunai, jam tangan dan barang kemas,” katanya.

Walaubagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan mereka juga tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek direman seminggu bermula 27 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tamat