Tiada pihak akan terlepas dari muka pengadilan, walaupun mereka mempunyai pengaruh serta kuasa sekali pun oleh itu berhubung kes seorang bekas diplomat berstatus Datuk diberkas polis selepas disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja kira-kira 100 batang di Janda Baik, Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat sebaik ia lengkap.

“Seorang bekas diplomat berusia 78 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh remannya tamat semalam, manakala anaknya masih ditahan reman sehingga esok,” ujarnya pada sidang akhbar di Menara 1, Bukit Aman dekat sini hari ini.

Pada masa sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan telah dijalankan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira pukul 6.10 petang di kediaman suspek pada 21 Mei lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan belakang garaj rumah tersebut, pihak polis menjumpai lima batas tanah yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja.

Jumlah keseluruhan rampasan disyaki pokok ganja adalah sebanyak 102 pokok dan nilai anggaran bagi setiap satu pokok adalah RM600 dengan nilai keseluruhan RM61,200.

Susulan penahanan suspek itu, seorang lelaki berumur 53 tahun yang juga anak suspek ditahan di Shah Alam kira-kira pukul 5.30 petang pada Isnin untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B dan Seksyen 6B akta sama.

Tamat