Itulah akibatnya terlalu banyak menonton filem aksi kongsi gelap mahupun gangster, orang lelaki ditahan pihak polis di Damansara selepas mengeluarkan sepucuk pistol dari tingkap ketika memandu kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Menurutnya selepas kejadian berkenaan pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton wira dan sepucuk pistol mainan di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara bagi tujuan siasatan.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku terlibat dan mendakwa pistol mainan yang berharga RM2.40 itu adalah milik anak buahnya.

“Suspek mendakwa dia sedang bermain dengan anak buahnya ketika kejadian yang berlaku pada pukul 7.03 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fakhruddin berkata, suspek telahpun dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada hari ini bagi permohonan tahanan reman.

“Hasil siasatan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Senjata 1960,” katanya.