Pada lewat petang semalam, tular beberapa gambar dan video menunjukkan seorang lagi berada di tempat duduk pemandu sudah tidak lagi bernyawa dalam McLaren 570S yang berada di hadapan pusat hiburan KTV Jalan Pudu.

Menurut laporan media tempatan mendapati mayat lelaki berusia 28 tahun itu ditemukan orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada polis kira-kira pukul 6.42 petang.

Melihat keadaan lelaki berkenaan tidak bergerak anggota bomba perlu membuka pintu kereta mewah itu secara paksa kerana ia berkunci dan pasukan perubatan melaporkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia.

Oleh itu Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke tempat kejadian mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata pada masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta yang digunakan adalah kereta sewa jadi kita masih menyiasat dari semua sudut berhubung penemuan mayat lelaki ini.

“Setakat ini, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah ditemukan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kita juga turut sedang menyiasat bagaimanakah kereta yang dinaiki si mati berada di hadapan pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Tamat