“Mandi tak khurafat, mandi okay saja macam mandi di Telaga Tok Syeikh sama macam mandi di rumah dan air terjun, ia sama kerana kedua-duanya guna air, namun ia bergantung kepada niat orang itu” itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Oleh itu amalan pihak tertentu yang melakukan amalan mandi di Gunung Jerai tidak boleh dianggap sebagai khurafat kerana ia bergantung kepada niat individu terbabit.

Ini kerana amalan yang bertentangan dengan syariat Islam tidak semestinya dilakukan di puncak Gunung Jerai sahaja kerana kemungkaran yang berlaku ‘di bawah’ adalah lebih banyak.

“Ada orang yang naik (ke Gunung Jerai) untuk meratib, naik bertapa, ada orang naik (untuk) rekreasi, ada orang anggap air telaga itu boleh buat ubat.

“Cuma jika mereka naik dan tidak turun untuk solat Jumaat, maka itu tidak boleh kerana solat adalah Jumaat itu fardu ain. Jadi saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat perkara ini,” katanya.

Walaubagaimanapun kerajaan negeri tidak mengambil sikap lepas tangan dan menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (Jheaik) bagi menyiasat sebarang perbuatan yang dikatakan bertentangan ajaran Islam berlaku di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, video tular berkenaan juga menjadi sebahagian promosi Gunung Jerai sebagai satu kawasan pelancongan Kedah kerana ia mempunyai pemandangan indah dan menarik.

“Di puncak boleh nampak awan di bawah gunung dan permandangan sawah, orang ramai boleh berkunjung kerana jalan yang runtuh akibat bencana kepala air siap dibaiki. Saya ingat tarikan ini yang perlu diketengahkan dan tak perlu sensasikan perkara lain.

“Dahulu Gunung Jerai menjadi tempat pedagang dan ada tapak masjid dan tapak padang saf dan makam Syeikh Abdullah Yamani. Mungkin tempat macam itu menjadi tarikan orang kerohanian, mungkin dia tak puas (beramal) di rumah, kalau tak salah tidak mengapa,” katanya.

Tamat