Sebelum semua pihak membuat serta membawa cerita serta membuat hukum khurafat, dan sebagainya mari menyelusuri sejarah apa yang menjadikan Gunung Jerai itu istimewa.

Sejarah bermula apabila Sheikh Abdullah Al Qumairi merupakan seorang ulama yang berasal dari Yemen berjaya mengislamkan Raja Kedah ke-9 iaitu Maharaja Derbar Raja.

Kemudian Baginda kemudian menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah dan menamakan negeri Kalaha kepada Kedah.

Masyarakat Melayu ketika itu, biasanya akan mengikut agama serta anutan pemerintah, oleh itu pengislaman berlaku secara besar-besaran di negeri Kedah yang mempunyai jajahan luas sehingga ke beberapa daerah di Thailand.

Kejayaan dakwah Sheikh Abdullah juga terbukti apabila pembesar istana juga turut menerima ajaran Islam.

Sheikh Abdullah yang menjadi penasihat baginda kemudian mencadangkan kepada sultan agar membuat menara di puncak Gunung Jerai bagi melaksanakan azan dan juga satu tempat bagi memperingati pertukaran nama baginda serta nama negeri Kedah.

Cadangan itu diperkenankan baginda dan pekerja bersama berkumpul di puncak Gunung Jerai dan mula mendirikan menara tersebut di bawah penjagaan Sheikh Abdullah.

Telaga Tok Sheikh itu wujud apabila beliau memerlukan air untuk kerja pembinaan menara dan juga keperluan pekerja.

Ditakdirkan Allah, air dari dalam tanah tidak pernah kering sampai ke hari ini.

Namun, apabila menara yang hendak dibina itu hampir siap, Sheikh Abdullah jatuh sakit dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketika akhir nafasnya, Sheikh Abdullah mewasiatkan supaya beliau dikebumikan di tanah rata berhampiran menara tersebut.

Wasiat berkenaan telah dilaksanakan dengan baik oleh Sultan dan para menterinya.

Disebabkan itu, sehingga hari ini tanah rata di Puncak Gunung Jerai dipanggil dengan panggilan Padang Tok Sheikh sempena mengambil nama Sheikh Abdullah.

Tak sepatutnya, apabila ada mana-mana pihak yang mandi atau mengambil wuduk menggunakan air semula jadi kurniaan Allah SWT di telaga Tok Sheikh terus dianggap sebagai khurafat.

Ini kerana Telaga Tok Syeikh adalah tinggalan sejarah yang penting buat umat Islam di Kedah dan sekitarnya, menghayati sejarah itu menjadikan generasi kini tidak lupa diri, dan menguatkan jati diri.

Tamat