‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ itulah gambaran yang boleh diperkatakan apabila lima sekeluarga diarahkan membayar denda sebanyak RM 12,500 selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret di Melaka akibat memaki serta mengugut polis Mac lalu.

Sebagai pengajaran Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua tertuduh, Ahmad Hafizi Zakaria, 25; Zakaria Kadir KV Raja, 60; Putrawirawan Irwan, 40; Ahmad Hafizan Zakaria, 19; dan Nor Ain Zakaria, 36; yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Walaubagaimanapun mahkamah membenarkan seorang lagi tertuduh, remaja lelaki berusia 15 tahun yang mengaku bersalah diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Julai depan untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selepas kertas pertuduhan dibacakan, kesemua mereka yang mempunyai hubungan ayah, anak, menantu dan cucu secara bersama didapati dengan sengaja menghalang tugas empat anggota polis di kawasan kompaun Balai Polis Batu Berendam kira-kira jam 1 pagi pada 26 Mac lalu.

Kesalahan berkenaan dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga anggota polis cuba meleraikan kekecohan yang dicetuskan sekumpulan individu yang berada dalam kompaun Balai Polis Batu Berendam.

Namun salah seorang daripada kumpulan berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan menyebabkan polis terpaksa menahan semua tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan terhadap penjawat awam adalah serius.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam secara berasingan merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan tidak bekerja, menghidap pelbagai penyakit kronik selain perlu menyara empat anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dengan RM2,500 kepada setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Tamat