Sekiranya orang ramai melihat pesawat udara terbang rendah disusuli dengan bunyi tembakan meriam, orang ramai dinasihatkan tidak panik kerana ianya hanyalah latihan pihak Angkatan Tentera Malaysia.

Latihan berkenaan adalah sempena Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 10 Jun depan di sekitar Putrajaya.

Menurut Markas Angkata Tentera Malaysia, majlis tersebut akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dan ATM akan terlibat secara langsung dalam beberapa aktiviti utama seperti perbarisan, tembakan meriam serta terbang lintas hormat pesawat udara.

“Sesi latihan telah bermula pada semalam dan akan diteruskan sehingga 10 Jun 2022.

“Aktiviti yang melibatkan tembakan meriam di sisiran Tasik (Promenade) Presint 16 dan penerbangan lintas hormat pesawat udara ATM di sekitar ruang udara Putrajaya adalah pada 5 Jun (8.30 pagi), 6 Jun (3.00 petang), 8 Jun (8.30 pagi) serta 10 Jun (8.30 pagi),” katanya semalam.

Jelas kenyataan itu, latihan tersebut juga merupakan aktiviti terkawal di bawah koordinasi ATM.

Tamat