Kononnya menggunakan kereta mewah jenis Toyota Vellfire dapat mengelakkan daripada aktiviti sindiket dadah daripada dihidu pihak polis, namun usaha berkenaan gagal apabila dicekup di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bangsar, di sini baru-baru ini.

Ini membuktikan pihak polis tidak mengambil sikap lepas tangan dalam membuat pemeriksaan kepada semua jenis kenderaan termasuk kenderaan mewah.

Melalui operasi berkenaan pihak polis menahan tiga individu berusia 29 hingga 49 tahun yang disyaki bertindak sebagai pengedar dadah.

Turut dirampas 145 bungkusan ketulan mampat ganja gred tinggi seberat 142.1 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM355,250.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, penangkapan itu hasil kerjasama pihaknya bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur terhadap aktiviti pengedaran sindiket yang telah beroperasi lebih empat bulan.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran di utara Semenanjung untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Kesemua dadah jenis gred tinggi seberat 142.1 kg dirampas dalam sebuah kereta jenis Proton Preve. Sekiranya terlepas, dadah itu boleh digunakan kepada 142,100 penagih,” katanya.

Modus operandi yang digunakan ialah dadah-dadah itu terdahulunya dibawa seorang pengantar menerusi kenderaan jenis Toyota Vellfire yang disewanya pada kadar RM500 sehari.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas tiga kenderaan Preve, Vellfire dan Proton Iswara dianggarkan bernilai RM138,000 yang digunakan bagi sindiket pengedaran berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati upah diterima bagi seorang transporter adalah sebanyak RM2,500.

“Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Dua daripada mereka juga didapati positif methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.

Ahmad Jefferi menambah, usaha mengesan dalang sindiket masih giat dilakukan pihaknya.

“Ketiga-tiga suspek direman sehingga hari ini dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini juga untuk tindakan seterusnya. Jika dapat arahan tuduh esok, kita akan dakwa di mahkamah

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tamat