Sudah tiba kerajaan menggubal akta berkenaan minuman beralkohol apabila bertambah lagi kejadian kemalangan akibat mabuk semalam sehinggakan sepasang suami isteri terbunuh apabila dirempuh sebuah kereta Myvi yang pemandunya dipercayai mabuk Jalan Serkam Pantai, Merlimau di sini pagi tadi.

Pemandu Myvi yang mabuk dipercayai memecut laju sehingga melanggar mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego.

Akibat rempuhan kuat kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dalam nahas berkenaan kira-kira pukul 7.45 pagi yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan tiga motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian itu turut mengakibatkan pemandu dipercayai mabuk berusia 24 tahun dan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian ini melibatkan sebuah kereta yang dipercayai dipandu dibawah pengaruh alkohol serta tiga buah motosikal masing-masing ditunggang pasangan suami isteri yang maut, seorang lelaki berusia 57 tahun dan seorang wanita berusia 55 tahun.

“Kereta jenis Myvi itu dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan yang mana insiden itu menyebabkan dua buah motosikal termasuk motosikal ditunggangi pasangan suami isteri yang berada di laluan itu gagal mengelak dan membrek sebelum merempuh kereta terbabit.

“Motosikal Yamaha Lagenda yang terlibat turut terbakar sebelum pemandu dipercayai mabuk itu melanggar sebuah motosikal lain yang diletakkan di bahu jalan sebuah rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut katanya, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi yang juga operator kilang terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala penunggang motosikal berusia 57 tahun cedera di bahagian badan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat selain mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tamat