Imej wanita seksi pendandan rambut sebagai promosi kedai undang bala kepada sebuah kedai salon yang dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pemeriksaan telah dilakukan oleh tiga anggota penguatkuasa MBSJ serta empat anggota polis di premis berkenaan pada hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis itu menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mempunyai lesen yang sah daripada MBSJ.

“Justeru itu, MBSJ mengeluarkan dua notis tawaran kompaun (NTK) di bawah UUK 3: Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan (MPSJ) 2013 atas kesalahan mengendalikan pusat kecantikan dan kesihatan tanpa lesen serta dua UUK 7: Undang-Undang Kecil Iklan (MPSJ) 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat ditetapkan.

Bagi menarik perhatian pelanggan, imej wanita berpakaian seksi sedang mendandan rambut pelanggan lelaki di sebuah salon di Bandar Puteri Puchong, dekat sini digunakan.

Tamat