Hanya disebabkan pokok yang ditanam di laluan rumah, nyawa seorang warg emas menjadi galang ganti apabila berlaku pergaduhan sehingga menyebabkan berlakunya serangan jantung di Kelochor di sini semalam.

Menurut maklumat awal mangsa yang berusia lewat 60-an ditemui meninggal dunia di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima panggilan dari Unit Rondaan (MPV) bahawa terdapat satu kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki di Jalan Kelochor di sini.

Menurutnya, polis ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di bahagian dapur rumahnya dan kemudian menghubungi pihak hospital untuk bantuan.

“Hasil pemeriksaan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu yang datang ke tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media pada semalam.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan awal dipercayai kejadian pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek yang merupakan jiran mangsa.

Katanya, kejadian itu berlaku di laluan hadapan rumah suspek yang bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa.

Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, mangsa didapati mempunyai kesan luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan mangsa bertindak melarikan diri pulang ke rumahnya, sebelum ditemui isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah.

“Susulan daripada itu, pihak polis berjaya menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Menurut suspek, kejadian berpunca daripada ketidakpuashatinya kerana mangsa menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melalui jalan tersebut,” katanya.

Tambahnya, suspek merupakan seorang lelaki berumur pertengahan 60-an dan tidak bekerja.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan sebab kematian mangsa kerana serangan jantung dan pada masa yang sama berlakunya kecederaan yang menyebabkan kesakitan sehingga berlakunya serangan jantung tersebut.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan tindakan direman diambil untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Muhamad Zaki.

Tamat