KOTA BHARU – Tiada jemaah haji dari Malaysia yang dilaporkan dijangkiti Covid-19 ketika menunaikan haji di Tanah Suci Mekah bermula awal bulan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk berkata, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jemaah haji negara ketika ini juga tidak menghadapi sebarang masalah di Mekah.

“Alhamdulillah, tiada laporan jemaah negara yang menunaikan ibadah itu dijangkiti Covid-19 setakat ini dan semuanya sihat.

“Kita juga berharap semua jemaah yang berada di Tanah Suci termasuk mereka yang bakal berlepas selepas ini dipermudahkan segala urusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah-Tetamu Dhuyufurrahman Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad Marzuk menyampaikan wang sagu hati kepada bakal jemaah haji dari kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, beliau berharap semua jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.-

Sumber – KOSMO! ONLINE