Sebelum aksi pasukan bolasepak kebangsaan menentang Bahrain semalam menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar seakan menjadi sebuah kolam takungan besar bersaiz olimpik kerana permukaan padang penuh ditakungi air hujan.

Dikatakan ianya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku pada masa lama menyebabkan sistem saliran padang tidak lagi mampu menahan jumlah kapasiti air untuk dialirkan ke luar.

Oleh itu petugas stadium terpaksa menolak air secara ‘manual’ menggunakan penyodok dan kertas putih keras bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.

Malah, petugas stadium masih giat menolak air ketika jam menghampiri 8.40 malam, hanya 20 minit sebelum perlawanan berlangsung.

Namun misi mengutip tujuh mata bagi menumpaskan Bahrain terhenti apabila pengadil meniupkan wisel penamat dengan kekalahan mata 2-1.

Penjaga gol negara, Farizal Marlias pastinya menjadi individu paling terkesan dengan kekalahan ini kerana kesilapannya menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti menghadiahkan gol kemenangan buat Bahrain.

Junior Eldstal sepatutnya sudah meletakkan Malaysia di depan seawal minit ke-5 sebaliknya lambunan yang cuba dilakukannya berjaya dibaca dengan baik oleh penjaga gol lawan, Sayed Mohamed Abbas.

Minit ke-31, ketangkasan Sayed Mohamed Abbas terus mengundang kecewa buat kem negara apabila pantas menepis tolakan jarak dekat Akhyar Rashid.

Sepuluh minit selepas aksi bersambung, Stadium Nasional Bukit Jalil akhirnya ‘bergegar’ apabila Mohamadou Sumareh meledak gol pembukan perlawanan namun kelebihan itu sekadar bertahan dua minit, Bahrain kembali menyamakan kedudukan menerusi Ali Abdula Haram.

Ketika lawan makin agresif memburu tambahan jaringan, anak buah Pan-gon kekal dengan sikap melawan dan kemasukkan Arif Aiman Hanapi beberapa kali mencemaskan benteng Bahrain.

Kesilapan penjaga gol negara, Farizal Marlias yang menghadiahkan penalti buat Bahrain jelas mengundang padah dan kesempatan pada minit ke-81 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh Abdulla Yusuf Helal.

Selasa ini, Malaysia bakal berdepan misi wajib menang menentang Bangladesh, juga di venue sama.

Tamat