PENGARAH Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih satu atau dua pemimpin gila kuasa yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka sekali gus mentadbir negara.

“Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat. Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Sanusi berkata demikian sebagai maklum balas terhadap ucapan Zahid dalam satu program Barisan Nasional (BN) awal hari ini yang mendakwa Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang takut kehilangan 18 kerusi Parlimen jika PRU15 diadakan lebih awal.

Sanusi menegaskan, dakwaan Zahid Hamidi itu adalah silap kerana negara mempunyai perkara lain yang lebih penting untuk diselesaikan.

Malah Sanusi menempelak Zahid yang berhadapan perbicaraan kes rasuah, menangguhkan pemilihan Umno selepas PRU15 kerana takut hilang jawatan sebagai Presiden.

“Jawatan ini penting supaya dia dapat sign (tandatangan) watikah calon BN dalam PRU15. Jika rakyat memilih mereka ini lagi, negara akan hancur atas kepentingan seorang dua pemimpin yang gila kuasa untuk selamatkan diri.

“Calon-calon terpilih untuk bertanding dalam PRU15 nanti akan dipastikan dapat menjalankan agenda menyelamatkan presiden daripada dipenjara jika membentuk kerajaan baharu…ini saja talian hayat yang dia ada,” katanya. –

Sumber – FMT