Pastinya semua pemandu pernah mengalami perasaan menakutkan apabila terpaksa mengikuti belakang lori treler balak tambah lagi apabila keadaan jalan sempit dan tiada ruang memotong. Bukan apa bimbang sekiranya balak-balak berkenaan putus ikatanya dan menghempap kereta.

Itu yang berlaku di Gua Musang, Kelantan apabila sebuah lori treler dengan muatan kayu balak terbalik sehingga menyebabkan kemalangan 5 kenderaan lain di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, petang semalam.

Menurut info pihak berkuasa, kemalangan berlaku sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan pemandu treler cedera ringan dan laluan di dua-dua arah mengalami kesesakan sehingga lima kilometer disebabkan kayu balak yang jatuh menghalang laluan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah treler dan empat kereta semuanya.

“Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang terbabas ke kanan sebelum melanggar treler muatan kayu balak.

“Pada masa sama, dua Perodua Alza dan sebuah Proton Exora tidak sempat mengelak dan terlanggar kayu balak yang jatuh di jalan.

“Susulan kejadian itu, berlaku kesesakan teruk di kedua-dua arah sehingga lima kilometer berikutan kayu balak yang menghalang laluan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Tamat