Thailand nyata ke hadapan lebih maju dalam teknologi pemakanan serta pertanian. Terbaru negara gajah putih itu, kini menggunakan pokok ganja sebagai makanan gantian kepada ayam.

Kesannya, ayam yang diberi makan berdasarkan sumber tumbuhan ganja ataupun hemp mempunyai imuniti daya tahan tubuh lebih kuat berbanding ayam lain.

Penternak di Lampang, Thailand memberi makan ayam mereka ganja sebagai pengganti kepada antibiotik. Mereka mendakwa ini bakal menghasilkan daging dan telur yang lebih baik daripada biasa, lapor The Straits Times.

Menurut The Nation, cubaan itu adalah sebahagian daripada ujian yang dijalankan oleh perusahaan komuniti Peth Lanna dan Fakulti Pertanian Universiti Chiang Mai.

Presiden perusahaan komuniti Peth Lanna Sirin Chaemthet dilaporkan berkata bahawa ayam yang diberi ganja telah menunjukkan kesan imuniti yang lebih baik.


Para penternak memutuskan untuk menggunakan ganja selepas antibiotik gagal menghalang ayam daripada terkena bronkitis burung.

Sirin turut menambah bahawa ayam yang diberi makan ganja akan dapat memenuhi permintaan pelanggan yang mencari makananan jenis organik.

Presiden Majlis Peladang Kebangsaan Prapat Panyachatrak berkata bahawa menggunakan ganja dan bukannya antibiotik akan memastikan keselamatan pengguna dan “meningkatkan nilai komersial produk ayam”.

Bagaimanapun, menteri kesihatan Thailand Anutin Charnvirakul memberi amaran bahawa penggunaan ganja secara rekreasi masih dilarang.

Tamat