Kononnya nak tunjuk kuat, siapa lagi samseng dan anak jantan membuatkan pihak polis 17 lelaki dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Bandar Utama Batu 6 di sini pada Sabtu lalu.

Suspek semuanya dipercayai berusia antara 19 hingga 40 tahun itu ditahan pada Isnin susulan video mengenai pergaduhan itu tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, tangkapan semua individu itu dibuat oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

“Hasil siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku pada jam 11.30 malam Sabtu di hadapan sebuah pusat hiburan.

“Semua individu berkenaan ditahan reman untuk membantu siasatan dan punca pergaduhan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, tular dua video masing-masing berdurasi 20 dan 26 saat memaparkan kumpulan lelaki yang bergaduh di hadapan sebuah premis.

Tamat