TEL AVIV, 13 Jun 2022 – Qatar membenarkan peminat bola sepak dari Israel menghadiri perlawanan Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung di negara tersebut meskipun kedua negara tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Menteri Luar Israel, Yair Lapid dan Menteri Pertahanan, Benny Gantz, mengumumkan sedemikian melalui ciapan Twitter mereka Khamis lalu.

Yair Lapid berkata, “Pencapaian politik yang memenuhi hati peminat! Setelah bekerja keras dan bekerjasama dengan Benny Gantz (Menteri Pertahanan Israel) dan Hili Tropper (Menteri Kebudayaan dan Sukan), ia telah membuahkan hasil yang gembira – rakyat Israel akan dapat terbang untuk menonton Piala Dunia di Qatar.”

Tambahnya, “Kecintaan pada bola sepak dan sukan ini menghubungkan orang dan negara serta Piala Dunia November ini membuka pintu baharu kepada satu hubungan mesra.”

Menurut agensi Al-Wafd, Qatar tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, bahkan sebaliknya menyokong Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menjaga Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Qatar menjalin hubungan perdagangan dengan Israel pada tahun 1966 namun memutuskan hubungan berkenaan pada tahun 2009 selepas Israel melancarkan perang terhadap pejuang Hamas di Gaza buat kali pertama.

Sejak September 2020, Israel telah menormalkan hubungan dengan empat negara Arab, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Morocco dan Sudan.

Perjanjian tersebut melanggar konsensus Arab yang menyatakan bahawa hubungan dengan Israel tidak harus diwujudkan sehingga termeterainya perjanjian damai yang membawa kepada penubuhan negara Palestin.

Tamat