Bagaikan berada berada di gelanggang gusti apabila ada adegan cabar mencabar sehingga membawa kepada aksi tumbuk menumbuk sehingga salah seorang tumbang.

Aksi selama 22 saat itu tular di media sosial memaparkan kedua-dua lelaki berkenaan bertumbuk berhampiran pembahagi jalan di laluan yang sesak tersebut sebelum dileraikan orang awam.

Dipercayai pergaduhan berpunca akibat salah seorang daripada mereka menghalang dan enggan memberi laluan kepada beberapa motosikal untuk meneruskan perjalanan di Persiaran Kerjaya Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penunggang motosikal berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jururunding di Subang Business Centre telah hadir membuat laporan pada Isnin.

“Siasatan awal mendapati pada 13 Jun sekitar jam 7.15 petang berlaku pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya.

“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan. Pertengkaran mulut berlaku disusuli dengan pergaduhan akhirnya dileraikan oleh orang ramai,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya beliau berkata, kedua-duanya lelaki berkenaan bagaimanapun bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik dan mangsa telah menarik balik laporan polis berkenaan.

“Mangsa dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. Pengadu juga telah buat laporan polis untuk tarik balik laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Tamat