Harimau Malaya mengganas membaham lawannya Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus memberikan peluang untuk beraksi dalam Piala Asia 2023.

Penantian selama 43 tahun berkenaan berbaloi apabila dapat melayakkan diri secara merit pada kali ini membuktikan bahawa rencah yang diadun pengendali, Kim Pan-gon berjaya.

Kemenangan disaksikan 52,964 penonton dengan hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan Darren Lok cukup menggegarkan stadium nasional.

Trio di bahagian serangan Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Safawi Rasid kembali digandingkan selepas tidak berada dalam kesebelasan utama ketika tewas 1-2 kepada Bahrain Sabtu lalu.

Syafiq memberi amaran awal apabila tendangannya menggegar tiang gol pada minit keenam sebelum Safawi pula melakukan sepakan gunting yang melambung tinggi lima minit kemudian.

Cubaan demi percubaan menyaksikan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti apabila Rimon Hossan menjatuhkan Matthew Davies dan Safawi tenang menyempurnakannya pada minit ke-16.

Ketika Malaysia hebat menyerang, pelawat yang dibimbing Javier Fernandez Penato berjaya mendiamkan seketika stadium apabila Mohammad Ibrahim menanduk masuk hasil lontaran ke dalam pada minit-31, menjadikan kedudukan 1-1.

Gol itu nyata mengejutkan kem negara yang terus memburu gol kedua dan hasilnya tujuh minit kemudian Dion Cools merembat kencang untuk gol pertamanya buat negara.

Sebelum tamatnya babak pertama, Malaysia hampir menambah gol, namun tandukan Syafiq berjaya dihalang di atas garisan oleh penjaga gol lawan, Anisur Rahman.

Malaysia yang berada di ranking 154 berbanding Bangladesh di kedudukan 188 semakin selesa apabila tandukan Syafiq di minit 47 tepat menuju ke sasaran untuk gol ketiga.

Kemasukan Darren Lok, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor menambah sengat di jentera depan dan hasilnya Darren menolak mudah hantaran Akhyar pada minit ke-73, menjadikan gol keduanya di pentas antarabangsa.

Tamat