Tidak sia-sia air mata seorang peminat cilik Harimau Malaya apabila dihadiahkan sepasang kasut boot milik Safiq Rahim serta jersi rasmi milik Arif Aiman semasa perlawanan akhir menentang Bangladesh.

Kanak-kanak lelaki yang videonya tular kerana menangis selepas aksi kekalahan Harimau Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada minggu lalu kembali mencuri tumpuan orang ramai.

Terbaru, kanak-kanak tersebut sekali lagi dirakam ketika menerima hadiah kasut ‘boots’ daripada pemain skuad kebangsaan Safiq Rahim sewaktu perlawanan Malaysia menentang Bangladesh semalam.

Seorang pengguna aplikasi TikTok, @muiiizzzzz berkongsi momen istimewa itu memaparkan Safiq menghampiri satu ruangan di tempat duduk penonton sebelum membaling kasut ke arah kanak-kanak berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, dia turut mendapat jersi eksklusif yang dipakai tonggak sayap Harimau Malaya dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman sewaktu perlawanan tersebut sekali gus menerbitkan riak wajah gembira.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit sememangnya aktif bermain bola sepak dan berada di bawah kelab remaja elit FC Setia Alam dengan bimbingan jurulatih Shazwan Wong.

Terdahulu, video tangisan kanak-kanak itu turut mengundang sebak ramai apabila tular selepas dimuat naik oleh pengguna TikTok @bojat45 sehingga menerima hampir setengah juta tontonan.

Tamat