IPOH: Pencerobohan dan pembinaan struktur di tanah rizab sungai di beberapa kawasan berisiko dan kritikal seluruh negara menjadi penyebab kawasan berkenaan terdedah kepada hakisan atau banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pencerobohan yang berlaku termasuk di kawasan Lembah Klang itu menyukarkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

“Apabila berlaku banjir kilat dan sebagainya, itulah fungsi rizab sungai… untuk menjaga atau mengawalnya daripada lebih kritikal tetapi apabila sebahagian rizab sungai diceroboh, kita sukar mengawal atau mengambil tindakan.

“Contohnya, baru-baru ini di Taman Melawati (Selangor), ada tanah runtuh (berhampiran sungai), jentera terpaksa masuk ke dalam sungai (untuk kerja-kerja teknikal) kerana ada perumahan di rizab sungai hingga ke tebing. Ini serius kerana untuk memindahkan (penduduk), memerlukan kos.

“Malah penduduk juga sudah mengeluarkan perbelanjaan (untuk buat rumah). Kerana itu, ia cabaran kepada kementerian (Kementerian Alam Sekitar dan Air) untuk memastikan rizab sungai dapat dijaga lebih awal (bagi mengelak tragedi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran hari ini.

Mac lepas, empat sekeluarga di Kampung Warisan, Taman Melawati, Selangor, dilaporkan berdepan detik cemas apabila berlaku kejadian tanah runtuh di belakang rumah mereka yang dipercayai berpunca daripada kerja baik pulih jalan menuju ke Empangan Klang Gate.



Tuan Ibrahim berkata pembangunan seperti padang permainan dan kawasan rekreasi dibenarkan di rizab sungai supaya kawasan sekitar dapat dipelihara termasuk daripada pembuangan sampah selain inisiatif memelihara denai sungai daripada diceroboh untuk dijadikan lokasi penempatan haram.

Beliau berkata bagi kawasan kritikal atau berisiko di Lembah Klang, perbincangan berterusan diadakan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan bagi tindakan segera termasuk membina benteng supaya air atau hakisan tidak melimpah apabila berlakunya bencana seperti banjir kilat.

Sumber – BERNAMA