KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, hampir AS$670 juta wang luar negara daripada pelbagai pihak dipindahkan ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan lima transaksi untuk tempoh tiga tahun.

Wedani Senen, 48, berkata, dua daripada transaksi pindahan wang itu diterima daripada Putera Faisal Turki Al-Saud sebanyak AS$20 juta masing-masing pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Pengurus Bahagian Unit SWIFT, AmBank (M) Berhad itu berkata, wang itu dipindahkan ke dalam akaun AmIslamic Bank milik bekas Perdana Menteri di antara 2011 dan 2014 menggunakan sistem SWIFT.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, penghantaran wang daripada Putera Faisal dilakukan melalui Bank Riyadh dan seterusnya dipindahkan ke sebuah bank di New York, Amerika Syarikat sebelum dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik Najib.

Jelas Wedani, sejumlah AS$30 juta dipindahkan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners (syarikat milik sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Eric Tan) masing-masing pada 30 Oktober 2012 dan 19 November 2012.

Pegawai bank itu turut menyatakan, sebanyak AS$620 juta dipindahkan daripada Tanore Finance Corp. pada 22 Mac 2013.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Wedani berkata, pindahan wang luar negara menggunakan sistem SWIFT itu melibatkan 12 transaksi di antara tahun 2011 dan 2014.

Butiran itu didedahkan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Terdahulu, mahkamah turut diberitahu, Good Star Limited dan PetroSaudi International Limited (PSI) yang menerima dana sebanyak AS$1.83 bilion daripada 1MDB di antara 2009 dan 2011, masing-masing telah dibubarkan pada 2014 dan 2015.

Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low dibubarkan pada 2 Mei 2014 manakala PSI yang dimiliki seorang ahli perniagaan Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.

Butiran itu didedahkan oleh saksi pendakwaan ke-28, Mohamed Fairudz Mohd. Hanif iaitu pakar undang-undang bagi polisi perniagaan di Unit Polisi Perniagaan, Labuan Financial Services Authority (LFSA).

Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu, tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan kepada syarikat Good Star Limited pada 2009.

Katanya, perkara itu hanya diketahui semasa mesyuarat BOD selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan bahawa transaksi AS$700 juta dilakukan kerana Good Star Limited adalah gabungan kepada PSI.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Mohamed Fairudz berkata, kedua-dua syarikat mempunyai alamat perniagaan di Vistra Corporate Services Centre, Eden Island, Mahe, Republik Seychelles.

Menurut saksi, butiran tersebut diperolehi selepas LFSA mendapatkan maklumat dari empat negara pesisir pantai iaitu British Virgin Island, Seychelles, Caracao dan Cayman Island.

Jelas beliau, maklumat itu dipohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2018 ketika mengendalikan siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Mohamed Fairudz berkata, lanjutan daripada permohonan ini, beliau telah menghantar satu surat bertarikh 10 Ogos 2018 kepada Seychelles Financial Services Authority (Seychelles FSA) bagi memohon bantuan mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Menurutnya, maklumat yang diperolehi menunjukkan kedua-dua syarikat tersebut juga menggunakan ejen pendaftaran syarikat yang sama iaitu Vistra (Seychelles) Limited (Sebelum ini dikenali sebagai Offshore Incorporations (Seychelles) Limited).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Sumber – UTUSAN