Satu pengalaman baru buat crew penerbangan Penerbangan Diraja Brunei (RB) apabila berhadapan detik cemas menyambut kelahiran seorang bayi lelaki dalam pesawat dari Dubai ke Bandar Seri Begawan, Brunei kelmarin.

Bayi berkenaan dilahirkan lebih awal tujuh minggu dari pada jangkaan doktor, penumpang berkenaan bernama Jenny Rose Josoy selamat melahirkan anaknya tujuh minggu lebih awal daripada jangkaan tarikh untuk bersalin.

Selain pramugari Dayang Siti Nurhafizzah Metassan, proses kelahiran bayi tersebut turut dibantu oleh pegawai penerbangan Romzi Mohamad Yusof dan seorang lagi penumpang Dr Mulfi Ibrahim Alkhinjar.

Detik berharga itu turut dikongsikan RB menerusi satu muat naik foto di laman Instagram sehingga menerima lebih 22,000 tanda suka dan ratusan komen netizen.

Sementara itu, Dr Mulfi Ibrahim berkata, dia gembira dan membesar hati kerana dapat membantu bagi mengeluarkan bayi berkenaan dengan selamat.

“Romzi sangat teratur dan membantu. Kakitangan RB kelihatan terlatih untuk situasi seperti ini, cepat bertindak dengan cara yang sewajarnya. Bantuan mereka membuatkan situasi berjalan lancar,” katanya.

“Pada mulanya kami menyangka wanita itu mengalami sakit perut biasa, tetapi selepas melihat surat kesihatannya berhubung kandungan sudah mencecah usia 33 minggu…
“…barulah kami menyedari bahawa dia sudah menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin,” ujarnya.

Romzi pula berkata, kejadian terbabit merupakan pengalaman keduanya dalam membantu penumpang yang mengalami kontraksi hamil sekali gus sedikit sebanyak membantu proses melahirkan.

Meninjau di ruangan komen posting itu, rata-rata bertanya jika bayi tersebut akan mendapat hadiah tiket penerbangan percuma seumur hidup seperti berlaku kepada seorang bayi perempuan yang dilahirkan dalam Egypt Air, dua tahun lalu.

Tamat