ALOR SETAR – Kerjasama erat dan baik yang dibentuk Perikatan Nasional (PN) di Kedah adalah model kerjasama terbaik untuk dicontohi negeri lain.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dibuktikan dengan perjumpaan bersama Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu perjumpaan pada malam Ahad.

“Pada malam ini saya dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pimpinan PN akan mengadakan pertemuan dan perbincangan.

Sudah tentulah ia sekali lagi membuktikan betapa kukuhnya kerjasama dalam PN di Kedah ini,” katanya selepas perjumpaan dengan kepimpinan Bersatu Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, di sini, pada Ahad.

Ketika diminta mengulas sama pertemuan dengan Muhammad Sanusi untuk membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azmin memberitahu mereka tidak akan membincangkan secara terperinci berhubung perkara itu.

“Tetapi dari segi prinsip dan dasar PN, kita telah mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama.

“(Namun) Pada minggu hadapan, ada satu pertemuan dan perbincangan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan perkara terperinci tentang gerak tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pertemuan dengan Muhammad Sanusi lebih kepada perjumpaan umum untuk membuktikan bahawa Kedah adalah satu model kerjasama yang terbaik yang perlu dicontohi negeri lain.

Azmin berpandangan pertemuan berkenaan penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dan juga program dirancang dapat dilaksanakan.

Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, beliau di peringkat kementerian akan terus bekerja kuat bersama dengan Lembaga Pembanguan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Ia bagi memastikan. perdagangan negeri serta jumlah pelaburan lebih besar yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk bakat-bakat tempatan sama ada di Kedah ataupun di Malaysia,”katanya.

Dalam pada itu,Azmin menjelaskan, perjumpaan beliau dengan kepimpinan Bersatu Kedah yang dipimpin oleh Datuk Mohd Suhaimi Abdullah selaku Pengerusi Bersatu Kedah pada petang Ahad juga disifatkan amat penting.

Katanya, Bersatu Kedah sama ada peringkat negeri, armada ataupun srikandi dilihat begitu komited untuk memperkukuhkan perjuangan parti itu di negeri ini dengan kerjasama yang begitu erat dengan pimpinan PAS negeri dan juga PN Kedah.

Beliau menyifatkan situasi ini merupakan satu petanda baik bahawa Bersatu Kedah telah meletakkan agenda perjuangan untuk memastikan dasar parti dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan Kedah.

Sumber – Sinar Harian