Sukar dibayangkan apabila seorang kanak – kanak berusia empat tahun terpaksa melalui detik-detik sukar apabila berada dalam keadaan kritikal akibat mempunyai dadah di dalam badan di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai, Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak tersebut yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini terpaksa ditidurkan.

“Pada jam 5 pagi Ahad kami telah menerima satu laporan daripada doktor di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai berkenaan seorang kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal dipercayai akibat dadah.

“Mangsa dibawa oleh ibu kandungnya untuk mendapatkan rawatan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, hasil soal siasat mendapati kanak-kanak tersebut dibawa oleh bapa saudaranya berusia 32 tahun yang merupakan penagih tegar ketika mengambil dadah.

Menurutnya, semasa jagaan bapa saudaranya sama ada kanak-kanak tersebut diberi dadah atau dibiarkan menyebabkan mangsa terdedah dengan penggunaan bahan terlarang itu sehingga ia masuk ke dalam badan.

Beliau berkata, tindakan serta merta diambil dengan menahan bapa saudara kanak-kanak terbabit yang bekerja sebagai buruh pada jam 10 malam Ahad untuk siasatan lanjut dan suspek direman mulai Isnin serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Dadah yang berada di dalam badan kanak-kanak tersebut dipercayai jenis methaphetamine.

“Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tamat