Bagaikan dirasuk syaitan, seorang paderi terdorong nafsu seksual melampau apabila melihat seorang remaja berusia 17 tahun lalu merogolnya beberapa kali di Bentong, Pahang dua tahun lalu.

Tertuduh, Kok Chaw Fatt, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan ketika dihadapkan di hadapan hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Menurut akhbar tempatan, berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh seluruh badan dan kemaluan mangsa yang berusia 17 tahun dua bulan ketika itu tanpa kerelaan di sebuah gereja di Bentong kira-kira 2 petang pada Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada Mei 2020 di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Bentong.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan perbuatan sama termasuk memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa pada Jun 2020 di sebuah rumah di sebuah taman perumahan lain di Bentong.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa merogol mangsa secara berlanjutan sehingga 14 bulan dari Januari hingga Disember 2020, serta Januari hingga Februari 2022 di sebuah rumah di taman perumahan di Bentong kira-kira 4.30 petang.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam, Lee Tee Kiat.

Anisah kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Lee memohon pihak mahkamah mengurangkan wang jaminan anak guamnya kerana amaun yang besar itu seolah-olah satu hukuman kepada tertuduh sebelum perbicaraan dan tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Faizadh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,500, iaitu RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tamat