Pastinya menarik perhatian semua terutamanya kanak-kanak apabila melihat watak adiwira lagenda dari negara matahari terbit itu, cumanya kali ini datang dalam keadaan comel.

Watak Ultraman ini lebih dikenali sebagai Ultraman Alatomey muncul dalam satu acara cosplay yang diadakan di Ipoh Parade, Perak.

Setelah menjadi viral, akhirnya sebuah media tempatan berjaya menjejaki pemuda yang dikenali sebagai Muhammad Fakhri Asyraf Mohd Fauzi, tuan badan Ultraman Alatomey.

Kemunculan Asyraf bukan menarik perhatian rakyat Malaysia, malah turut sampai ke Australia.

Menurut Asyraf, 28, kostum Ultraman Dyna menjadi pilihan hatinya kerana sudah dibesarkan dengan watak adiwira tersebut sejak masih kecil lagi.

“Sejak kecil lagi sudah minat dengan watak Ultraman antaranya Ultraman Tiga, Ultraman Dyna dan Ultraman Gaia sehinggakan menyimpan impian untuk menjadi watak tersebut,” katanya.

Menurut Asyraf yang bekerja sebagai penghantar makanan ini, segala kostum dan topi Ultraman yang digayakan adalah hasil tangannya sendiri dan bukanlah ditempah dari mana-mana kedai.

“Saya beli sepasang ‘jumpsuit’ kosong dan beli kain untuk jadikan coraknya.

“Topi pula saya cipta dengan menggunakan bahan yang sama seperti ada di selipar Jepun,” katanya.

Menurutnya, kostum bernilai kira-kira RM300 itu dibuat hasil tangan sendiri lebih berbaloi, murah dan berpuas hati tanpa mengorbankan wang yang banyak.

Paling positif, Asyraf tidak mengambil peduli pandangan negatif daripada orang ramai yang mengejek fizikalnya.

Bagi Asyraf, segala kata-kata yang dilontarkan oleh warganet diambil secara positif sebagai pembakar semangat untuk terus yakin terhadap cosplay.

“Ramai yang kecam akan fizikal saya tetapi saya hanya tergelak sahaja kerana sudah lali sejak dari zaman sekolah lagi.

“Saya anggap mereka yang komen negatif teringin untuk ‘cosplay’ tetapi tidak mampu”.

Jelas Asyraf lagi, dia mahu membuktikan bahawa orang yang mempunyai fiz1kal berbadan besar tidak semestinya tidak dapat membuat perkara yang diminati.

“Nasihat saya buat ‘cosplayer’ berbadan besar, buat sahaja dan jangan fikirkan kata-kata orang,” pesannya.

Menariknya, keyakinan Asyraf dalam dunia ‘cosplay’ ini juga telah mendapat perhatian daripada seorang kartunis terkenal, Keith.

Keith telah melukis gambar Asyraf dengan kostum Ultraman dan dikongsikan di laman Facebooknya sebagai tanda penghormatan.

Tamat