Tiada siapa sangka kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun mampu memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu serta membuka tingkap menyebabkan dia terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur semalam.

Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondomium itu, sekitar perimeter laluan bomba.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan berkenaan kira-kira jam 3.30 petang tadi.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya semalam.

Menurut Beh, sebelum kejadian budak terbabit dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.

Difahamkan ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.

Beh berkata polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibunya kira-kira jam 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Tamat