“Tak cukup makan ke lagi Datuk kat bandar? Itu kata tegas sindir seorang gadis Orang Asli apabila marah melihat kerakusan pekerja Datuk berkenaan yang mahu melakukan kerja-kerja pembersihan hutan, Jumaat tadi

Menjadi kebanggaan apabila wanita itu bersemuka dengan lelaki tersebut yang disyaki datang ke kawasan mereka bersama beberapa individu lain untuk menjalankan kerja-kerja tertentu sehingga menimbulkan kemarahannya.

“Saya tak takut sebab saya tak pergi kacau orang bandar. Tak pergi kacau Datuk. Datuk yang kacau Orang Asli.

“Orang Asli cari makan… satu hari nak dapat RM20 pun susah tau. Kalau tak percaya pergi sana tengok rumah. Awak boleh hidup macam Orang Asli tak?

“Tanggal baju awak orang, pakai baju Orang Asli, makan cara kita orang, macam mana? Nak cari makan? Ini nak cari ikan pun dah susah, sebab sebuah (dijadikan) estet. Estet ambil sampai sungai tau.

“Kita sebagai manusia, prihatin la sikit. Saya faham awak orang kerja. Datuk tu memang melampau saya cakap. Kita orang kalau buang kat sini, jangan cakap 1,000 ekar dia nak ambil, orang kampung ni nak pergi mana?

“Saya tanya. Dia nak hantar mana orang kampung? Makan sawit? Ingat Datuk je nak makan, Orang Asli tak payah makan ke? Tak payah hidup?” , kata wanita berkenaan dalam nada berang kepada lelaki yang dipercayai wakil kepada seorang individu berstatus ‘Datuk’ yang disebutnya.

Menurut wanita itu, dia geram kerana lelaki berkenaan datang ke kampung mereka tanpa memberi notis awal sebagaimana pernah dijanjikan sebelum ini.

“Memang dah geram dah. Hari tu dah cakap baik-baik, dia cakap kalau masuk dia akan beritahu. Tapi tak ada pun. Kita boleh bincang, boleh ikut cara.

“Dah banyak kali dah, kita orang tunggu… Dia cakap, nanti kalau kita masuk, kita call bagitahu orang kampung, wakil, tapi tak ada pun. Itu masalahnya. Kesabaran kita orang ada tahap tau” ujar wanita itu lagi.

Melalui rakaman video berkenaan, kelihatan beberapa lelaki dan wanita, dipercayai penduduk kampung sedang berdiam diri sambil mendengar kata-kata wanita tersebut.

Dalam satu lagi video berasingan, turut dikongsi tangkap layar status Facebook seorang individu yang menulis: Dah mula datang buat kerja ukur tanah Orang Asli tanpa pengetahuan orang kampung.

Malah, netizen turut menyelar pihak-pihak tertentu yang dikatakan rakus menjarah hasil bumi Orang Asli sehingga mengabaikan tanah asal mereka.

Tamat