Akibat terinspirasi daripada ikon Crocodile Hunter, mendiang Steve Irwin, seorang lelaki di Indonesia memberanikan diri kononnya mahu menangkap ular sawa batik, akhirnya hampir maut akibat dililit reptilia berkenaan sehingga tidak mampu bernafas.

Menurut laporan berita tempatan lelaki berkenaan bersama rakannya turut mengambil video untuk ditularkan di media sosial.

Awalnya lelaki itu dilihat berjalan keluar dari rumahnya sambil lehernya dililit oleh ular tersebut, namun dia dilihat berkali-kali cuba untuk meleraikan lilitan ular itu tetapi gagal sehingga dia akhirnya terhuyung-hayang dan rebah ke tanah.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila seorang wanita menjerit histeria selepas melihat kejadian itu.

Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang memberanikan diri untuk cuba melepaskan lilitan ular tersebut menggunakan kain putih.

Namun, dia menjadi panik setelah melihat keadaan lelaki itu dan berlari ke arah jalan raya untuk meminta pertolongan.

Selepas itu seorang lelaki datang untuk membantu dan akhirnya lilitan ular tersebut berjaya dilepaskan.

Mangsa yang rebah juga telah sedar dan bertindak menangkap ular berkenaan agar tidak membahayakan penduduk lain.

Sehingga kini, video tersebut telah ditonton ribuan kali dan mendapat pelbagai respon dari netizen.

Tamat