Terasa hiba apabila melihat keadaan tiga mangsa lemas dalam keadaan berpelukkan apabila kereta yang dinaiki jenis Proton Persona itu terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, di sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata, mayat ketiga-tiga mangsa ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 3.30 pagi tadi.
“PPDA yang melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengesan kedudukan kereta di dasar sungai yang mempunyai kedalaman lebih 5 meter.
“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk menaikkan kereta terbabit dengan menggunakan kren,” katanya.
Menurut Syufaat, sebaik membuka pintu, mayat Mashitoh Ibrahim, 37, ditemui bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, berada di bahagian tempat duduk belakang.
“Kita dapati cermin pecah dan berlaku kerosakan di bahagian hadapan kereta. Jadi, saya percaya, mengikut SAR yang kita buat, mangsa iaitu ibu dan anak-anak ini, mungkin telah berada di belakang.
“Tetapi, pada keadaan itu, kita memang tidak dapat pastikan sama ada mereka bertiga masih bernyawa atau pun tidak,” tambahnya.
Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Semalam, polis mengesahkan tiga beranak dikhuatiri lemas selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di jambatan itu dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 6 petang.
Tamat