Hamas kini tidak lagi akan berkrompomi dengan tindakan regim Zionis sekiranya berlaku sebarang ancaman kepada rakyat Palestine.

Menurut Hamas, roket Hamas sedang bersedia untuk dihalakan muncungnya bagi memusnahkan kawasan pendudukan rejim Zionis hanya dalam tempoh beberapa minit sekiranya berlaku konfrontasi ketenteraan baharu.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang membuat kenyataan itu dalam ucapannya di Lubnan turut mengutuk sekeras-kerasnya normalisasi hubungan beberapa negara Arab dengan Israel.

“Sejak 74 tahun lalu, Lubnan bersimpati dengan Palestin. Hari ini, kita melihat (pembebasan) Masjid Al-Aqsa kerana kita berada dalam era kemenangan dan pembangunan yang arahnya ditentukan oleh negara kita dan penentangan kita,” katanya.

Mengenai pengepungan Israel di Semenanjung Gaza, beliau berkata Gaza berada di bawah sekatan darat, udara dan laut, tetapi pihaknya menggunakan (operasi) Pedang al-Quds untuk melawan Israel.

“Israel menggunakan senjata mereka habis-habisan, tetapi menjadi sasaran serangan peluru berpandu oleh pejuang Briged al-Qassam dan penentangan berasaskan Gaza.

“Sekiranya berlaku peperangan dengan Israel pada masa hadapan, 150 peluru berpandu akan memusnahkan rejim Zionis dalam tempoh kurang dari lima minit,” kata pegawai tertinggi Hamas itu.

Haniyeh turut menekankan Zionis dan peneroka Israel tidak mempunyai tempat di al-Quds dan al-Aqsa dengan berkata pihaknya akan memusnahkan impian mereka itu.

“Al-Quds dan Tebing Barat sudah berada di bawah tekanan sejak beberapa tahun lalu untuk membuat rakyat kita melepaskan tentangan dan meninggalkan tanah mereka.

“Operasi Pedang al-Quds akan diteruskan sehingga pembebasan sepenuhnya Palestin,” katanya.

Perkembangan terbaru itu berlaku sehari selepas Ha-niyeh mengecam normalisasi hubungan antara beberapa negara Arab dan Israel sebagai ‘sangat berbahaya’, sambil menegaskan bahawa tentangan sengit adalah satu-satunya pilihan strategik untuk pendudukan Israel.

Tamat