Satu kunci bagi melonjakkan simpanan kerajaan negeri melebihi kerajaan sebelum ini ialah berbelanja secara berhemah dan berintegriti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan sekarang berbelanja berdasar kepada bajet yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Katanya perbelanjaan di luar bajet beliau tidak kompromi.

“Bukan kerajaan tidak mahu belanja tetapi biarlah belanja ikut bajet dan secara berhemah.

“Pada Mei 2020, kerajaan negeri mula menabung dan menyimpan. Ada orang tanya dah reserve banyak kenapa tak belanjakan.

“Kita bukan tak mahu belanja tapi biarlah berdasarkan bajet. Kita simpan dan apabila keadaan lebih susah dari sekarang, kita belanja. Sekarang kita boleh ‘survive’ lagi,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Kedah mempunyai simpanan mencecah RM680 juta dan merupakan pencapaian tertinggi berbanding kerajaan terdahulu.

Sebelum ini, simpanan kerajaan negeri pernah susut sehingga RM40 juta antara 2014 hingga 2018 dan pernah mencatat sebanyak RM320 juta pada 2008.

Sanusi berkata, pada suku tahun pertama 2022 nilai pelaburan ke Kedah sebanyak RM8.5 bilion, manakala untuk suku tahun kedua mencecah RM20 bilion.

“Semua ini anugerah Allah beri untuk kita semua. Kalau ikut sejarah Kedah sebelum ini, dalam setahun kita nak dapat pelaburan asing RM5 bilion pun susah.

“Pernah dalam setahun tu, Kedah hanya mendapat RM1.9 billion sahaja,” katanya.

Mengikut statistik lalu, Kedah mencatat sejarah apabila berjaya mendapat pelaburan sebanyak RM68.3 billion walaupun ketika berdepan pandemik Covid-19.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM32 juta untuk bantuan rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Tamat