Akibat membawa dadah di dalam kereta Proton Iswara pasangan suami isteri terus melarikan diri tanpa menghiraukan keadaan anaknya yang digilis sebuah kenderaan selepas berlakunya kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, kelmarin.

Paling tidak berhati perut, kedua ibu bapa bayi yang terbunuh itu, sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sekitar jam 11.30 nalam..

Difahamkan kenderaan tersebut milik seorang pengguna jalan raya yang telah berhenti untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat kemalangan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika pasangan terbabit bersama seorang anak berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor.

Sebaik tiba di lokasi kejadian katanya, suspek lelaki yang memandu kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback itu cuba memotong sebuah lori sebelum gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kanan jalan.

“Kenderaan tersebut telah berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua penumpang kereta telah tercampak keluar.

“Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah tercampak di tengah-tengah jalan raya telah digilis oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun Anuwal berkata, pasangan terbabit berjaya ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah.

Jelas beliau, pihaknya telah membuka tiga kertas siasatan iaitu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

Tamat