Pelakon, Puteri Sarah Liyana, 37, memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita yang didakwa kekasih kepada suaminya, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar.

Puteri Sarah ketika ditemui di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini, berkata, selepas hampir empat tahun menahan sabar dan menanggung derita, dia akhirnya bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Selepas saya pulang dari menunaikan umrah Mei lalu, saya nampak jelas dengan apa yang saya nak buat dan membulatkan tekad.

“Jadi sebelum saya menunaikan umrah saya sudah memberikan segala maklumat kepada peguam dan sepanjang tempoh sebulan di luar negara mereka sudah siapkan dan mengkaji semuanya. Selepas saya balik umrah, terus kami membuat perbincangan dan mengambil tindakan saman,” katanya.

Menurutnya berkata, tujuan dia membuat tindakan itu adalah untuk mempertahankan maruahnya yang sudah tercalar dan sekian lama didiamkan.

“Isu ini tidak akan berlarutan kalau saya tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar. Sebelum ini saya ada kongsi di Instagram terdapat pihak yang mencabar saya dengan menyatakan bila saya nak menyaman dan meminta peguam saya untuk membuat tindakan segera. Jadi kami sudah failkan dua saman,” katanya.

Menurut isteri pengarah filem Mat Kilau itu , selain menuntut keadilan, dia juga mahu menyelamatkan rumah tangganya dan memperjuangkan haknya sebagai wanita teraniaya.

“Sebelum membuat keputusan ini, saya berfikir panjang mengenai apa yang akan berlaku kepada saya, perkahwinan dan keluarga. Namun, saya buat semua ini untuk diri saya dan keluarga. Sampai bila saya nak kena pijak macam ini?

“Malah ramai juga wanita yang teraniaya yang menghantar mesej peribadi bertanyakan nasihat. Sekarang saya sudah bukakan jalan kepada mereka dan insya-Allah selepas ini siapa yang mahu ‘menyondol’ itu, mungkin lebih berhati-hati,”

Tamat

Advertisement