“Kenapa macam-macam tuduhan dibuat terhadap beliau? Macam-macam dikata pada dia (Ismail Sabri), kita nak dia jadi perdana menteri selepas PRU,” itu kata bekas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tajuddin Abdul Rahman, baru-baru ini.

Menurutnya dia akan terus memberi sokongan yang berbelah baginya kepada Ismail Sabri, tanpa sebarang keraguan.

“Apa pun saya tetap setia dan sokong perdana menteri, biar apa pun orang kata pada dia – ada orang kata dia lembiklah, apa ke…,” tegasnya.

Tajuddin minggu lalu menghangatkan politik negara apabila mendakwa ada beberapa pemimpin Umno menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagia perdana menteri.

Dakwaan itu dibuat beberapa hari selepas Tajuddin diketepikan daripada jawatannya sebagai ahli oleh presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang media khas di Petaling Jaya itu, Tajuddin turut berkata Ahmad Zahid tidak layak untuk memimpin Umno bagi menghadapi PRU ke-15.

Tindakan Tajuddin itu mendakat kecaman sesetengah pemimpin Umno dan dia kini berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh parti.

Program disertai Ismail Sabri hari ini diadakan di kawasan bersebelahan saja dengan Bagan Datuk yang kini diwakili Ahmad Zahid.

Tambah Tajuddin selaku wakil rakyat di Pasir Salak, dia akan terus memberikan sokongan padu kepada Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata pembagungan di Kampung Gajah, Pasir Salak agak ketinggalan berbanding di tempat lain.

Oleh itu dia meminta perdana menteri supaya meluluskan projek bagi pembangunan di kawasan tepi Sungai Perak supaya ia menjadi tarikan baru yang boleh menjana ekonomi setempat.

“Kita nak bangunkan tepi Sungai Perak satu bandar baru, tak ada masalah untuk perdana menteri selitkan sikit dalam bajet tahun depan, saya nak minta perdana menteri luluskan dari segi prinsipnya sudah cukup.

“Kampung Gajah tak ada banyak pembangunan, saya sedih juga. Tapi nak buat mcm mana saya wakil rakyat biasa, kalau menteri lainlah,” katanya lagi.

Tamat