Usaha seorang ibu mentua yang bergegas menyelamatkan menantu sedang mengandung gagal apabila kedua jenazah mereka ditemui dalam keadaan berpelukkan dipercayai lemas setelah dibawa oleh kejadian kepala air di Kampung Iboi semalam.

Setelah kedua jenazah Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi tadi, membuatkan semua yang berhampiran mengalirkan air mata, megenangkan kasih ibu kepada anak menantu.

Kedua-dua mangsa ditemui anggota bomba di bawah timbunan batang pokok berhampiran Sungai Iboi sekitar 100 meter daripada rumah mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat ditemui selepas anggota ternampak kaki salah seorang mangsa di bawah timbunan batang pokok.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan serta tiada kesan kecederaan luaran.

“Kita mengeluarkan mayat pertama iaitu Nurul Anis diikuti ibu mertuanya, Salmah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu Khairul Ikwan Nor Azam, 14, masih belum ditemui.

“Mangsa adalah daripada keluarga sama iaitu anak kepada Salmah dan operasi pencarian mangsa sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, pasukan penyelamat telah berjaya menyelamatkan 155 mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat dengan 270 lagi penduduk diselamatkan orang awam,” katanya.

Tamat