“Saya cari sampai ke lubang cacing,” ! Itu suara tegas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas operasi dengan pihak Jabatan Alam Sekitar di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Sepang.

Menurutnya beliau mengambil pendekatan tegas bagi memastikan nyawa orang ramai tidak dijadikan taruhan oleh pengilang mahupun pengeluar bahan sisa kimia berkenaan.

.”Saya sangat tegas dalam hal ini dan meminta pihak JAS dengan kerjasama polis menyiasat perkara ini, kerana nyawa orang ramai bukan lagi untuk diperjudikan.

“Sepanjang lapan (8) hari, sebanyak 97 aduan diterima oleh JAS dengan pattern yang hampir sama sekitar lokasi pencemaran ini.

“Saya ikuti komen di Facebook, ramai yang mengadu sakit tekak, sakit dada, loya dan sakit kepala,” katanya.

Menurut beliau, hasil maklumat awam, JAS berjaya menjejaki lokasi sebenar punca pencemaran bau kimia iaitu di lokasi tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Sepang.

“Kawasan berkenaan lebih dikenali penduduk tempatan sebagai “Lombong Nam Tak. Anggaran keluasan tapak sekitar 1.3 hektar dan terletak kira-kira 700 meter daripada jajaran Sungai Langat.

“JAS menemui kawasan paya dipenuhi sisa kimia bercampur aduk dengan sampah domestik serta sisa-sisa ricihan plastik. Berdasarkan anggaran, terdapat 100 tong besi (metal drum) berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia yang disyaki buangan terjadual (BT) berbentuk cecair, separa-cecair dan pepejal berwarna.

“Selain itu, terdapat sisa-sisa bekas Intermediate Bulk Container (IBC) yang telah dipotong yang mana isi kandungannya dialirkan ke sebuah lubang besar yang telah digali oleh pihak yang melupuskan BT tersebut,”, katanya.

Tuan Ibrahim kini bersama JAS sedang menyelaras tindakan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membersihkan dan mengeluarkan semua buangan dari lokasi kejadian dan dilupuskan di kemudahan yang dilesenkan oleh pihak JAS.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat yang menyalurkan aduan, pihak JAS kerana bertindak pantas dan semua agensi yang terlibat,”

Tamat