“Tindakan pun sudah diberi dan ketika itu pelaku tidak mengulangi perbuatan tidak senonoh, namun kali ini ia berlaku kembali,” itu kata Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin selepas mengulas kes penjual air buah wanita yang berpakaian seksi dan membiarkan tubuhnya dipeluk dua lelaki.

Menurutnya wanita penjual air buah yang berpakaian seksi itu sebelum ini sudahpun dipanggil untuk diambil tindakan dan diberi nasihat.

Oleh itu JHEAT telahpun menahan seorang pelayan wanita berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di sebuah premis menjual makanan dan minuman di Setiu.

Ketika ditahan wanita berada di dalam premis miliknya ketika operasi bersama pihak polis serta Majlis Daerah Setiu pada malam Selasa.

“Keterangan telah direkodkan, beberapa saksi termasuk saksi tambahan akan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

“Sebaik siasatan lengkap, kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan syarie untuk didakwa di bawah mana-mana seksyen, ” katanya memetik laporan portal Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

M Rozi berkata, pihaknya mengesyorkan kes itu dirujuk mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

M Rozi menegaskan, orang ramai perlu untuk menjaga tatasusila supaya selari dengan ajaran agama Islam.

“Jangan melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan jika ada maklumat tentang aktiviti tidak bermoral, sila laporkan kepada kami,”katanya.

Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 34 saat yang memaparkan beberapa pelanggan tanpa segan silu memeluk seorang dengan pekerja wanita di sebuah kedai makan.

Tindakan itu mengundang pelbagai kecaman dan kritikan pengguna media sosial.

Tamat