Sudahpun diingatkan kepada mana-mana individu yang ingin menunaikan ibadah haji haruslah melalui Tabung Haji bagi memudahkan urusan serta mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan beleluasa kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, seharusnya jemaah perlu melalui TH kerana sebarang urusan hanya yang mendapat mandat pengurusan daripada Arab Saudi.

“Apabila musim haji tiba, akan ada pihak tidak bertanggungjawap yang cuba mengambil kesempatan. Kita tidak mahu apabila berlaku perkara begini, beban itu ditanggung oleh TH. Pengurusan lesen haji di bawah Pengelola Jemaah Haji (PJH) juga perlukan syarat ketat.

“TH akan selidik semua syarikat yang nak masuk PJH. Jadi tak timbul soal kartel, kita bersedia jika SPRM masuk siasat. Kita buka pejabat 25 jam untuk tengok isu kartel ini,” katanya tadi.

Beliau berkata TH sentiasa memantau perkembangan syarikat berdaftar di bawah PJH bagi memastikan mereka layak serta mempunyai reputasi dan kewangan yang baik.

Idris juga berkata beliau tidak mahu saban tahun perkara sama berlaku seperti insiden yang menimpa 380 bakal jemaah haji baru-baru ini sedangkan orang ramai telah diperingat tentang risiko haji furada.

“Tak sepatutnya kejadian sebegini berlaku sedangkan negara lain memuji negara kita, jemaah juga memuji perkhidmatan yang diberi oleh TH. Janganlah ada yang memfitnah dan mereka-reka cerita. Mungkin ada sedikit kelemahan TH (dalam operasi) tetapi janganlah cuba meletakkan beban pada TH,” katanya.

Beliau berkata selepas kembali ke tanah air, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan bagi membincangkan isu haji furada, umrah serta strategi melaksanakan pengawasan lebih ketat.

Beliau turut menasihati orang ramai yang berhasrat melaksanakan ibadah haji dan umrah supaya berhati-hati termasuk pemilihan syarikat pelancongan kerana pakej haji swasta bukanlah sesuatu yang murah.

“Pastikan ejen yang dipilih mempunyai sejarah atau rekod prestasi yang baik dan boleh dipercayai. Kalau perlu pergi melawat pejabat dan tengok sendiri operasi mereka. Jangan hanya tumpu kepada harga yang menarik dan berurusan melalui telefon sahaja walaupun yang mengesyorkan itu kawan baik kita.

Berdasarkan rekod, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan antaranya berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut serta memiliki rekod Bank Negara melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit.

Tamat