Parti Ikatan Demokrtik DAP dilihat sengaja membangkitkan isu sejarah Mat Kilau yang dikatanya bukanlah sebagai seorang hero yang mengangkat perjuangan agama, bangsa, serta tanahair.

P. Ramasamy dengan selamba menuduh Mat Kilau sebagai hanya pemimpin petani dan beliau bersama dan pengikutnya berkonfrontasi dengan British dalam usaha mengembalikan dasar ekonomi yang bermoral.

Ramasamy berkata, Mat Kilau telah mengetuai anak buahnya untuk berhadapan dengan British bagi memberhentikan pelaksanaan cukai, pengurangan gaji ketua kampung dan lain-lain.

“Jika status quo mereka terganggu, mereka mungkin bangkit untuk mengembalikan hak mereka.

“Dalam erti kata lain, Mat Kilau bukanlah seorang revolusioner atau nasionalis tetapi seorang pemimpin petani yang bangkit untuk memperbetulkan keadaan yang telah diubah secara mendadak oleh pentadbiran British,” katanya.

Dalam kenyataan di Facebook, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu juga mendakwa, peranan Mat Kilau telah ditafsir secara selektif oleh penerbit filem untuk membawa tema bangsa, agama dan negara.

Tema sebegitu, dakwanya, sangat sesuai dengan nasionalisme kontemporari yang sempit seperti yang dilihat dalam perjuangan UMNO, Bersatu dan Pas.

“Tiada apa-apa yang menghalang nasionalis Melayu yang berfikiran luas atau sempit untuk memberikan tafsiran terpilih tentang sejarah silam.

“Sekadar filem itu, ia seolah-olah menjadi karya nasionalis yang berfikiran sempit untuk menyesuaikan sejarah agar sesuai dengan agenda psikologi dan politik mereka.

“Mungkin ada agenda halus di pihak pembuat filem untuk melangkaui nasionalisme UMNO yang berakar umbi dalam penentangan Rancangan Malayan Union 1946,” kata Ramasamy.

Justeru beliau berharap, daripada tertumpu kepada nasionalisme Melayu kontemporari yang sempit mungkin pembuat filem tempatan boleh mempertimbangkan soal penentangan awal masyarakat Melayu terhadap British.

“Malangnya, filem tersebut atas sebab komersial menggambarkan Mat Kilau sebagai seorang nasionalis yang berfikiran sempit,” katanya.

Dalam kenyataannya, Ramasamy turut menyentuh mengenai babak yang melibatkan askar berketurunan Sikh yang dibawa dari India dan menjadi askar upahan British.

“Orang Sikh adalah tentera British dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa mereka terlibat dalam serangan tanpa belas kasihan terhadap penduduk kampung.

“Bagaimanapun, filem itu dengan menggambarkan tentera dan polis Sikh bertindak kejam, tidak adil dan terlibat dalam usaha perkauman yang tidak wajar yang tidak perlu. “British yang menjadi sasaran Mat Kilau dan anak buahnya dan bukan orang Sikh,” katanya.

Tamat