“Pada masa itu, proposal (kertas kerja) yang dikemukakan ECK kepada saya adalah supaya kawasan berkenaan dijadikan ladang durian Musang King pada skala besar,” itu antara pengakuan mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan beliaulah yang meluluskan projek berkenaan.

Ahmad Badshah berkata, akuan ini sekali gus menggegarkan seluruh negara apabila permohonan ECK Development Sdn Bhd yang menjadikan Gunung Inas di Baling sebagai ladang durian Musang King berskala besar pada 2018 diluluskan olehnya.

“Ketika saya mengambil alih jawatan Menteri Besar, sebuah syarikat tempatan iaitu ECK Development Sdn Bhd membeli syarikat Aman Mega yang sebelum itu diberi kelulusan menguruskan kawasan Gunung Inas di Baling oleh Menteri Besar terdahulu.

“Tujuannya tidak lain untuk memastikan kawasan yang sebelum ini dijalankan aktiviti pembalakan dilindungi semula dengan tanaman supaya ia kelak tidak menjadi masalah kepada kawasan sekitar.

“Kelulusan itu, tidak sama sekali untuk tujuan pembalakan baharu kerana aktiviti pembalakan sudah berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Badshah berkata, pada masa sama, tumpuan kerajaan negeri ketika itu adalah memastikan kawasan Gunung Inas dilindungi semula selepas berlaku aktiviti pembalakan yang dilakukan ketika pentadbiran negeri terdahulu.

“Cadangan ECK itu kemudian diangkat untuk pertimbangan kerajaan. Sebagai Menteri Besar sudah tentu saya tidak boleh mengambil keputusan semberono. Ia perlu melalui beberapa peringkat penelitian dan mesyuarat khas di peringkat kerajaan.

“Sebenarnya banyak cadangan lain lagi, tetapi kerajaan pada masa itu mendapati cadangan ECK tampak lebih meyakinkan selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk ekonomi, alam semulajadi, kepentingan penduduk dan sebagainya.

“Saya tegaskan kerajaan memberi kelulusan itu untuk melindungi semula kawasan tersebut, di samping kerajaan turut mendapat faedah dan pulangan yang difikirkan setimpal. Apa yang penting bagi kerajaan, adalah isu di kawasan hutan Gunung Inas diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata, berlaku pertukaran kerajaan negeri, perkara ini turut menerima tempias kerana lain orang, lain cara pemikirannya. Ini disebabkan setiap Menteri Besar akan berubah cara berfikir, cara mentadbir negeri yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkara seperti ini.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya tidak lagi menjadi Menteri Besar dan tidak ada kuasa ke atas keputusan kerajaan. Sudah tentu Menteri Besar selepas saya yang mengambil alih tanggungjawab untuk hal pentadbiran negeri termasuk isu berkenaan.

“Bukan sesuatu luar biasa untuk kerajaan atau pimpinan negeri baharu membatalkan atau tidak meneruskan usaha kerajaan pentadbiran terdahulu dan bukan juga satu kesalahan meneruskannya, jadi terserah kepada mereka,” katanya.

Namun begitu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini antara individu turun padang bagi mengatasi bencana akibat kerakusan mereka terdahulu.

Sanusi juga, antara orang pertama memohon maaf daripada mereka yang terlibat dalam bencana berkenaan berbanding hanya tuduh menuduh di antara satu sama lain.

Tamat