“Jangan paksa saya dedah semua nama, saya tak mahu terus tuduh menuduh kerana saya perlu adil kepada semua,” itu kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mungkin kata-kata itu kini sudah mulai menjadi racun apabila wujud sesetengah pihak yang menjadi panas punggung dan terkesan dengan ucapan Sanusi.

Walau ianya diucapkan secara umum kini ada pihak yang mengambil pendekatan ‘play victim’ seolah-oleh mereka hanyalah daripada golongan yang turut teraniya apabila hutan balak ditebang hasil buminya diragut, dijadikan ladang durian musang king terbesar.

Tanpa sedikitpun menjenguk kepada penempatan rakyat yang berada di bawah Gunung Inas, yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung sengsara akibat rakusnya tangan mereka itu.

Ugutan keras Sanusi kini menyebabkan satu demi satu goyah dan mula membuka mulut siapa kepala, siapa punca, dan siapa yang menerima habuan. Namun begitu beliau menjelaskan tugasnya kini hanya satu, selesaikan isu mangsa banjir.

“Saya tak mahu terlibat dalam permainan tuduh-menuduh ini, mereka cuba seret saya masuk, tetapi saya tak tunding pada sesiapa. Orang tanya saya jawab, bukan kerja saya cari salah orang. Perbuatan bergaduh ini tidak akan selesaikan masalah mangsa.

“Semua orang hendak tahu siapa salah, adakah orang bersalah dapat bina rumah mangsa yang roboh? Saya nasihat jangan gaduh, yang penting kita kena selesaikan masalah, kena bela nasib mangsa banjir,” katanya

Sanusi juga, antara orang pertama memohon maaf daripada mereka yang terlibat dalam bencana berkenaan berbanding hanya tuduh menuduh di antara satu sama lain.

Sebelum ini Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa syarikat ECK dibenarkan menanam durian di Gunung Inas ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ahmad Bashah antara 2016 hingga 2018.

Semalam juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan beliaulah yang meluluskan projek berkenaan.

Tamat