“Penternak babi ini pun susah juga, dalam masa enam bulan harga naik enam kali. Jadi kenapa mereka ini tidak dibantu? itu kata Chong Zhemin (DAP-Keranji) apabila mengemukakan soalan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak beberapa hari lalu.

Soalan berkenaan cukup menggambarkan betapa rasistnya ahli politik DAP yang hanya mahukan pengguna dan penternak babi mendapat subsidi sama seperti bekalan makanan lain sedangkan pilihan sumber protein lain bagi menggantikan babi.

Menurutnya dia mencadangkan kerajaan negeri memberikan subsidi kepada penternak babi berikutan harga daging tersebut kian meningkat.

Ia disebabkan terdapat enam kali kenaikan harga dalam tempoh enam bulan bagi daging tersebut.

Menurutnya, sebelum ini harga bagi 100 kilogram (kg) daging babi adalah RM700 tetapi kini meningkat kepada RM1,200 dalam tempoh enam bulan.

“Saya cadangkan bagi setiap kg daging diberikan subsidi untuk membantu penternak,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Isu pemberian subsidi dan bantuan kepada penternak babi turut dibangkitkan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinjir).

Sementara itu, menjawab kepada soalan dikemukakan, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakarian menjelaskan setakat ini tiada sebarang rungutan diterima daripada penternak babi mengenai kenaikan harga tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak mempunyai rancangan untuk menyediakan sebarang pakej bantuan kepada penternak haiwan tersebut.

“Daging khinzir bukanlah makanan keperluan keseluruhan rakyat.

Setakat ini kadar sara diri pengeluaran (SSL) bagi daging babi di negeri ini ialah 284 peratus iaitu melebihi keperluan.

“Ia berbeza dengan daging ayam.

Sebab itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil tindakan mengawal harga ayam dan memberikan subsidi,” katanya.

Menjawab soalan lisan dikemukakan Zhemin mengenai usaha kerajaan negeri untuk membantu penternak-penternak mengurangkan kos, Razman menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera untuk sektor ternakan melalui bantuan kepada penternak ruminan dan ayam kampung yang memenuhi syarat dan merupakan pengusaha secara kecil-kecilan.

Jelasnya, pakej tersebut merangkumi bantuan daripada sudut penyediaan kursus dan pemberian peralatan secara percuma kepada peserta.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama MAFI telah melaksanakan pelbagai bantuan dan inisiatif khususnya dalam sektor ternakan untuk jangka masa panjang dan pendek.

Jelasnya, antara bantuan diberikan kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) adalah menyediakan peruntukan bagi penanaman rumput di kawasan padang ragut dengan penyediaan RM300 kepada setiap penternak secara sekali bayar.

Beliau berkata, kerajaan juga meneruskan program Skim Rezeki Ternak yang bertujuan membantu penternak kecil meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Tamat