Akibat bersifat kurang ajar serta mahu menyampaikan mesej biadap serta menghina agama kaum dan bangsa melalui medium lawak komedi pemilik Kelab Komedi Crackhouse Rizal Van Geyzel dikenakan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Walaubagaimanapun lelaki biadap berkenaan mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan di Mahkamah Jenayah Siber Kuala Lumpur pagi ini di hadapan hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Pertuduhan pertama adalah mengenai video yang disiarkan di Facebook pada 4 Julai, yang kedua mengenai siaran Instagram pada 6 Julai dan yang ketiga mengenai video TikTok pada 5 Julai.

Dalam video yang disiarkan di tiga platform media sosial itu, Rizal didakwa membuat jenaka mengenai stereotaip kaum.

Melalui satu klip pendek yang tular dalam talian, Rizal didakwa membuat jenaka tentang stereotaip Melayu.

“Saya berbangsa campuran. Ayah saya Belanda dan Cina, ibu saya Melayu dan Turki.

“Adakah anda tahu apa yang kedua-dua campuran ini buat saya? Bumiputera. Kerana ia adalah tentang mempunyai jumlah Melayu yang cukup dalam diri anda. Tidak cukup untuk membuat anda malas tetapi cukup untuk mendapatkan anda pembiayaan,” katanya, menurut salinan dokumen kertas pertuduhan.

Pertuduhan di bawah Seksyen 233(3) adalah bagi kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk membuat siaran jelik dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Jika sabit kesalahan, Rizal boleh didenda tidak melebihi RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali. Denda tambahan RM1,000 juga boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes.

Hasniah turut mengarahkan Rizal menyerahkan pasportnya dan tidak membuat sebarang siaran media sosial berhubung kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman dan Nurul Ain Abu Bakar manakala peguam Ramkarpal Singh mewakili Rizal.

Crackhouse mendapat perhatian serius baru-baru ini berhubung persembahan kontroversi yang menyentuh Islam, yang menyaksikan seorang wanita dan teman lelakinya ditahan.

Tamat